Jangan Jadi Macam Biskut Lemau Di Bulan Ramadhan Ini. Jom Lihat Tips Cergas Di Bulan Puasa!
Bulan puasa bukan kredit untuk anda lemau di siang hari. Lagi-lagi buat yang bekerja, tak kiralah di pejabat, di site, offshore, mahupun di rumah, semuanya perlukan tenaga untuk pastikan kerja selesai. Malam pula nak beribadah sebanyak-banyaknya. Jadi jom ikuti tips elak lemau di bulan puasa yang kami ingin kongsi dengan anda.
Sebenarnya Ramadhan inilah waktu terbaik untuk bantu diri kita mengawal pemakanan dan berdiet. Jika kena caranya, ia boleh menjadi habit terbaik anda sampai bulan-bulan seterusnya.
- Jangan tinggalkan sahur
Bersahurlah kerana banyak fadhilat di dalamnya. Antaranya memberikan anda tenaga untuk berpuasa, selain membantu mengawal paras gula dalam darah sepanjang waktu berpuasa. Semasa bersahur, ambil makanan yang mengenyangkan seperti karbohidrat dan protein. Roti, oat atau nasi umpamanya. Tak adalah anda rasa letih dan lesu di pagi hari. Nanti mula cari alasan tak nak puasa atau tak nak buat kerja!
- Garam? Kafein? Kurangkan!
Elakkan makanan berlauk yang terlalu masin dan bergaram kerana ia membuatkan tubuh anda lebih cepat terhidrat dan haus. Begitu juga minuman berkafein tinggi seperti kopi, nescafe dan bergas. Minuman sebegini merangsang anda untuk membuang air kecil lebih kerap nanti.
- Air jarang pastikan cukup
Minum air masak secara berpada pada. Biar cukup dengan keperluan badan, jangan terlebih kerana jika terlebih, badan akan automatik mengeluarkan lebihan dengan segera, dan buat anda lebih cepat haus. Sebaiknya minum 2/3 gelas saja semasa sahur. Kuantiti yang tepat pasti buatkan anda lebih selesa dan tidak cepat lesu kerana dehidrasi.
- Kurma sumber tenaga
Kurma memang banyak khasiatnya. Lagi-lagi pada ibu hamil dan menyusukan anak, jika mahu cergas, tetap berpuasa dan tidak lesu, amalkan pengambilan kurma dalam bilangan ganjil semasa sahur. Selain membantu pengeluaran susu yang konsisten, struktur gula ringkasnya juga membantu penyediaan tenaga untuk hari anda. Niatkan juga sebagai usaha untuk anda cergas bertenaga di bulan Ramadhan. Jangan jadikan hamil atau menyusu sebagai alasan skip puasa, atau lemau sepanjang masa! Tak usaha, mana nak dapat hasilnya betul?
- Bersenam
Boleh bersenam ke puasa-puasa? Boleh! Tetapi bukan di waktu pagi. Sebaliknya sejam dua sebelum berbuka. Buat aktiviti ringan seperti jogging atau berjalan santai di taman atau di bazaar. Cuma jika ke bazaar, jangan “bersenam jari mengangkat beg juadah berbuka” pula ya! Jika waktu pagi, buat senaman regangan biasa saja untuk elak dehidrasi yang cepat. Jika mengantuk, rehat seketika dan basuh muka dengan air sejuk untuk kesegaran. Tapi jangan pura-pura lupa pula sambil teguk air. Elakkan senaman angkat berat kerana ia buat badan lebih berpeluh dan otot bekerja keras, lantas lebih banyak tenaga dibakar.
Senaman lepas berbuka pun tiada masalah. Tapi jika makan berat, pastikan perut diberi masa untuk hadamkan makanan terlebih dahulu dalam sejam hingga sejam setengah sebelum bersenam. Dan terawih adalah senaman paling mudah dan bermanfaat sepanjang bulan Ramadhan.
- Berbuka dengan sederhana
Untuk elakkan letih dan lesu secara tiba-tiba di waktu malam, elakkan terus buka dengan makanan berat. Mulakan dengan tamar dahulu. Atau air kosong. Tamar berikan tenaga ekspress untuk anda. Minum jus buah tanpa gula. Rasanya lebih fresh dan ia bantu anda kurangkan penggunaan gula dalam minuman.
Makan secara perlahan dan tertib. Perut anda baru saja kosong seharian, pasti terkejut jika tiba-tiba penuh! Itulah analoginya. Tetapi sebenarnya untuk elakkan ketidakstabilan paras gula yang tiba-tiba naik atau tekanan jantung yang tiba-tiba perlu pantas bekerja untuk menyalur oksigen ke organ-organ yang mengawal penghadaman badan.
Makan dalam kadar sesuai. Tak terlalu sikit tak terlalu banyak. Ini boleh bantu untuk elak gastrik atau sebu perut. Tak selesa pula nanti nak beribadah.
Lemak, minyak, pedas dan berempah. Kurangkan juga. Ini untuk elakkan ketidakselesaan perut dan penghadaman.
Itulah 6 tips penting untuk anda. Sebenarnya nak elakkan lemau di bulan Ramadhan ni berkait rapat dengan gaya pemakanan dan aktiviti harian. Makanan yang tepat dan seimbang mampu membekalkan tenaga yang mencukupi untuk anda berpuasa dengan cergas dan bersemangat.
Lagi satu, sentiasa positifkan minda kerana apa yang anda percaya, itu yang anda akan alami!
Salam Ramadhan!
oleh Azizan Osman pada 23 May 2017
oleh Azizan Osman pada 23 May 2017
Comments
Post a Comment